IBADAH BULAN MUHARAM
Puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa Muharam seperti yang dijelaskan oleh hadis berikut (maksudnya):
``Bahwasanya sebaik-baik sembahyang sesudah sembahyang fardhu ialah sembahyang pada tengah malam, dan sebaik-baik puasa sesudah puasa Ramadhan itu ialah puasa pada bulan Allah, yang kamu namakan dia dengan bulan Muharam.``
Dalam hadis ini Rasulullah Sallallahu `alaihi Wasallam menyatakan keutamaan bulan Muharam, dan menamakannya `Bulan Allah`. Dengan tegas baginda menerangkan bahawa puasa bulan Muharam lebih utama dari bulan-bulan lain, selain bulan Ramadhan. Dalam bulan ini terdapat hari Asyura, yang pahala puasanya boleh menebus dosa-dosa yang lalu. Pada bulan inilah Allah Subhanahu Wata`ala menerima taubat Nabi Adam.
Adalah sunat berpuasa pada hari yang disebut sebagai `` Hari Tasu`a `` iaitu hari yang kesembilan daripada bulan Muharam dan pada hari yang ke sepuluh daripada bulan Muharam iaitu `` Hari Asyura ``
Menurut Ibnu Hazm, Hari Asyura itu ialah hari yang kesembilan daripada bulan Muharam. Beliau berpendapat bahawa seseorang itu amat digalakkan berpuasa pada hari yang kesembilan ini, kemudian mengiringinya dengan puasa pada hari yang kesepuluh.
Sabelum puasa Ramadhan difardhukan, puasa Asyura ini wajib hukumnya, kemudian satelah puasa Ramadhan difardhukan, hukum puasa Asyura ini dijadikan sunat.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Aishah Radiallahu `anha katanya:
`` Hari Asyura adalah hari orang Quraisy berpuasa pada zaman Jahiliah. Rasulullah juga ada mengerjakannya. Setelah Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam tiba di Madinah, beliau terus mengerjakan serta menyuruh orang lain sama berpuasa. Satelah puasa Ramadhan difardhukan baginda berkata: Barangsiapa hendak melakukan, ia boleh berpuasa, dan barangsiapa yang tidak mahu ia boleh meninggalkannya. ``
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Abbas katanya:
``Ketika Nabi Sallallahu`alaihi Wasallam tiba di Madinah, beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa Asyura. Baginda bertanya: Mengapa mereka berpuasa? Mereka menjawab: Suatu hari yang baik, pada hari itu Allah Subhanahu Wata`ala melepaskan Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari tersebut. Baginda berkata: Saya lebih berhak terhadap Musa daripada kamu, lalu baginda berpuasa dan menyuruh para sahabat turut berpuasa.``
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa, katanya:
``Hari Asyura itu adalah suatu hari yang dimuliakan oleh orang-orang Yahudi dan dijadikannya hari raya. Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam berkata kepada para sahabat: Berpuasalah kamu pada hari Asyura itu.``
Diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Qatadah bahawa baginda Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam telah ditanya tentang puasa Asyura ini, baginda dengan tegas menjawab:
`` Ia (puasa Asyura) menebus dosa tahun yang lalu.``
Dosa yang dimaksudkan ialah dosa-dosa yang kecil. sekiranya seseorang itu tidak berdosa kecil, dosa-dosa besarnya akan diringankan. Kalau ia tidak mempunyai dosa-dosa besar, darjat orang yang berkenaan akan ditingkatkan.
Menurut Ibnu Hajj dalam Al-Madkhal, adalah digalakkan pada hari tersebut agar seseorang itu memperbanyakkan amalan kebajikan dan sedekah untuk kaum keluarga, anak yatim, fakir miskin tanpa memberatkan diri.
Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam bersabda:
`` Barangsiapa memperbanyak pemberian terhadap keluarganya (mereka yang wajib ditanggung nafkahnya) juga ahlinya pada hari Asyura, nescaya Allah Subhanahu Wata`ala akan memperbanyak pemberiannya untuk seluruh tahun.``
Para ulama yang lalu merayakan hari ini dengan beribadah dan bersedekah sahaja dan tidak menyediakan pelbagai jenis makanan.
Para ulama menerangkan bahawa puasa Asyura itu ada tiga martabat:
- Berpuasa tiga hari, iaitu pada 9,10 dan 11 haribulan;
- Berpuasa pada 9 dan 10 haribulan sahaja;
- Berpuasa pada 10 haribulan sahaja.
Perbanyakkanlah bacaan zikir berikut pada hari-hari yang disebutkan diatas, atau sekurang-kurangnya 70 kali:
(حسبي الله ونعم الوكيل نعم المولى ونعم النصير)
[ Hasbi yallahu wani`malwakil ni`mal maula wani`man na shir ]
Selain itu, lakukan sembahyang sunat dua rakaat, dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 11 kali pada setiap rakaat.
~*~
No comments:
Post a Comment